KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Pada ketika kelompok
masyarakat yang memerlukan di negara ini tidak mampu mengharapkan apa-apa untuk
meringankan beban hidup, tiada siapa yang peduli, tetapi kini bila mereka
dihujani dengan pelbagai bantuan kerajaan, yang mengejutkan, ada pula yang
berkata langkah ini tidak betul!
Pemberian kerajaan ini bermula dengan bantuan khas
persekolahan sebanyak RM100 untuk setiap pelajar sekolah, yang dibayar November
lepas, baucar buku RM200 untuk pelajar Tingkatan 6 dan pelajar Institusi
Penganjian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diagihkan kepada
rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan, pada Januari.
BR1M terutamanya menarik perhatian negara kerana ia
melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion dan dijangka memberi manfaat kepada
5.2 juta isi rumah, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah isi rumah di
Malaysia.
Rakyat beratur panjang di seluruh negara untuk memohon
bantuan itu dan sekali lagi berbuat demikian ketika menerima baucar tunai
pembayaran itu mulai Ahad (15 Jan).
Apapun ramai juga yang begitu yakin bahawa Bantuan Rakyat
1Malaysia itu sebagai muslihat untuk memancing undi dan tindakan yang tidak
pernah dilakukan kerajaan ini dianggap penunjuk jelas bahawa Pilihan raya Umum
ke-13 sudah begitu hampir.
Abdul Ghapa Harun, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah,
Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), menegaskan bahawa tindakan kerajaan itu patut diterima secara
objektif atas kesedaran sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil berat
kebajikan rakyat.
WAJAR ATAU TIDAK?
Persoalan yang memerlukan jawapan ialah sama ada pemberian
itu bermotifkan politik dan bagi saya; “Memanglah mungkin boleh dikatakan ada
unsur politik tetapi itu soal kedua kerana ia merupakan bantuan yang wajar
dalam keadaan di mana kos kehidupan semakin meningkat.
“Walaupun RM500 bukanlah satu jumlah yang besar, tetapi ada
faedahnya kepada golongan yang memerlukan iaitu mereka yang berpendapatan
sederhana dan rendah kerana sedikit sebanyak dapat menampung keperluan
kehidupan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Abdul Ghapa berkata kos sara hidup yang tinggi ketika ini
tidak dapat dielakkan bagi setiap negara termasuk Malaysia yang kini dalam
proses peralihan daripada berstatus sederhana kepada negara maju menjelang
tahun 2020.
Ia berikutan ketidaktentuan harga barang peringkat global
disebabkan faktor cuaca, bekalan, krisis ekonomi dunia termasuk penggantungan
beberapa sumber makanan di negara lain, sekali gus menyumbang kepada
peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.
Abdul Ghapa menarik perhatian bahawa dalam merealisasikan
matlamat negara berpendapatan tinggi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak telah memberi penekanan kepada transformasi politik dan ekonomi untuk
membantu rakyat melalui proses peralihan ini.
Namun begitu, ia merupakan satu proses jangka masa panjang
untuk melihat hasil daripada dasar berkenaan. Ditambah pula, dengan kemelut kos
sara hidup yang meningkat, sedikit sebanyak proses peralihan ini memberi
tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Memahami akan keperitan golongan itu, Najib merasakan
perlunya satu mekanisme dalam mengagihkan faedah yang diperolehi semasa
pertumbuhan ekonomi yang dikecapi dalam proses menuju negara maju.
Menurut Abdul Ghapa, di sinilah terletaknya peranan BR1M
sebagai satu mekanisme pengagihan.
“Ini dapat membuatkan tekanan yang dihadapi rakyat akibat
transformasi yang dialami semasa proses peralihan itu, dikendurkan,” katanya.
Lebih-lebih lagi, bagi Najib, kejayaan transformasi politik
dan ekonominya bergantung kepada sokongan rakyat dan oleh itu kerajaan harus
mencari jalan untuk memenangi hati rakyat.
PRIHATIN “AYAH” DAN “ANAK”
Pendekatan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan usaha
yang pernah dijalankan allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein dalam era
1960an dan awal 1970an semasa inflasi melanda negara.
Abdul Ghapa berkata seperti Najib, Tun Razak juga
melaksanakan program transformasi ekonomi dengan pelaksanaan dasar pembangunan
jangka panjang, dan untuk menampung kelemahan, di antaranya diperkenalkan
tindakan pembetulan jangka masa pendek.
“Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang dilancarkan Najib dilihat
mempunyai persamaan dengan ‘restoran rakyat’ yang diperkenalkan bapanya yang
memberi jaminan harga makanan yang berpatutan.
Bagaimanapun, Najib melangkah jauh lagi dengan
memperkenalkan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia
(KIR1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai program jangka
pendek yang membolehkan faedah segera disampaikan kepada rakyat.
BANTUAN TIDAK DIPOLITIKKAN
Abdul Ghapa berkata sudah tentunya beberapa ahli politik
yang tidak bertanggungjawab menggunakan usaha murni kerajaan ini untuk
mengukuhkan kedudukan mereka dengan mempersoal keikhlasan kerajaan, tetapi
bantuan itu patut dilihat dari sudut pandangan yang positif.
“Yang penting mereka seharusnya melihat kepada proses
pengagihan bantuan itu supaya ia benar-benar sampai kepada rakyat dan
memastikan tidak berlakunya penyelewengan,” katanya.
Selain itu, sikap sesetengah pemimpin dalam parti yang
menjadikan bantuan sebagai medium untuk menonjolkan diri mereka, turut
menyumbang kepada pendebatan mengenai keikhlasan kerajaan dalam meringankan
beban rakyat ini.
“Seeloknya elemen kepartian dalam proses pengagihan haruslah
dielakkan kerana boleh memberi kesan sebaliknya kepada usaha murni itu,”
katanya.
Biar apapun spekulasi terhadap pemberian bantuan BR1M itu,
hakikatnya rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah amat memerlukannya
dan kehadiran mereka beramai-ramai untuk menuntut pemberian itu jelas
menunjukkan mereka menghargai bantuan kerajaan itu.
Ini sekali gus mendorong semua pihak kembali kepada perkara
asas mengapa kerajaan dipilih, iaitu untuk membantu rakyat. Justeru, amat wajar
bantuan murni seperti BR1M ini tidak dipolitikkan kerana rakyat berhak
menerimanya.
Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment